Setelah beberapa bulan aku mencari CD asalnya, baru dua malam lepas aku berjumpa. Bukanlah aku ni seorang yang mengumpul original CD tapi bagi sesetengah album dan filem bagi artis yang aku hormati, aku akan rasa bersalah yang amat sangat jika mendapatkan CD mereka dengan harga sebanyak RM5 sahaja. Barangkali penjual vcd lanun merasakan aku gila bila aku berkata pada mereka “ Saya mahu vcd Gubra yang original punya !” di dalam suasana mereka mahu sembunyikan vcd-vcd cetak rompak di belakang rak vcd-vcd original.
Terlalu banyak yang telah diperkatakan orang tentang “Gubra”. Aku adalah orang yang terlewat untuk menontonnya. (Inilah harga yang aku harus bayar bila tinggal di tempat yang namanya Alor Setar ni, di mana cerita atau filem yang aku nak tengok, agak susah nak cari, mungkin salahku yang begitu gigih menunggu vcd originalnya).
Aku suka “Gubra” walau aku agak kurang senang dengan beberapa perkara yang dibawa oleh filem ini. Aku ni agak fundamentalis dalam hal2 yang berkaitan dengan isu sensitif yang dibawakan oleh filem-filem sekarang terutamanya bila aku mahu menontonnya dari kacamata seorang Muslim. Aku juga sensitif dengan message-message yang dibawa oleh filem. Tapi aku ni bukanlah pengkritik hebat, aku hanya salah seorang penonton yang agak cerewet memilih filem yang mahu ditonton.Kalau ada yang mahu melabelkan aku fundamentalis Islam, aku tidak akan membangkang.
Ramai fundamentalis yang marah dengan filem ini yang mengangkat persahabatan keluarga seorang bilal dengan pelacur. Aku melihatnya dari sudut lain sebagai seorang fundamentalis juga. Aku juga pernah membaca betapa marahnya para fundamentalis Islam kerana bagi mereka “Bilal jenis apakah itu yang tidak membawa message “Amal Maaruf Nahi Mungkar” di dalam persahabatannya dengan pelacur-pelacur itu?”. “Amal Maaruf Nahi mungkar yang mereka mahukan ialah dengan satu terjemahan sahaja iaitu dengan menegur dan memarahi pelacur kerana memilih kerjaya itu dan seterusnya memboikot pelacur tersebut dan anaknya juga akan dilarang untuk bercampur gaul dengan anak mereka. Inilah watak bilal yang mereka mahukan. Mereka agaknya terlupa untuk menterjemah ayat untuk berdakwah dengan hikmah. Barangkali mereka sendiri tidak tahu apa itu maksud “Hikmah”.
Aku suka dengan persahabatan baik yang dijalin antara keluarga Bilal dan Temah serta temannya Kiah , satu perhubungan tulus dan jujur sesama insan atas dasar keagamaan dan juga kemanusiaan yang mana akhirnya menjadikan pelacur-pelacur tersebut tertarik dan mahu kemballi kepada fitrahnya. Fitrah seorang Muslim. Cerita pelacur Muslim seperti ini mengingatkan aku pada waktu zaman Revolusi Iran, di mana antara tempat utama bagi para revolusioners untuk turun berdakwah ialah rumah-rumah pelacuran. Mereka tidak memandang rendah apatah lagi menghina para pelacur tersebut. Dengan penuh hikmah mereka berdawah dengan mengatakan bahawa antara sebab para pelacur tersebut memilih karier itu adalah kerana tiadanya pilihan lain yang disediakan oleh kerajaan Shah pada waktu itu yang menyebabkan ada segelintir rakyat terpaksa memilih kerjaya yang “paling tua” di dunia itu.
Aku juga paling suka dailog antara Temah dan Mas ketika Mas sedang mengajar Temah membaca kitab suci Al Quran.
Temah: Mas tak marahkah Temah tak pakai tudung?
Mas: Tak. Kenapa nak marah ?
Temah : Kalau Temah nak pakai tudung ?
Mas : Kalau Temah nak pakai tudung? Mas belikan
Temah : Kalau Mas beli, Temah tak nak pakai ?
Mas : Kalau Temah tak nak pakai tudung, Mas simpan. Mana tahu kalau satu hari nanti Temah nak pakai; dah ada
Betapa hikmahnya dan bijaksana “amal maaruf dan nahi mungkar” yang dibawa oleh Yasmin dalam cerita Bilal dan Pelacur.
Yasmin berjaya membawa sesuatu yang sangat fresh dengan memberi nafas baru bagi seorang bilal dan juga keluarga bertudung labuh hitam yang sangat terbuka, bijaksana yang menunjukkan contoh dan sikap yang baik sebagai Muslim. Di dalam dunia sekarang yang memandang serong pada mereka yang memakai kopiah dan bertudung labuh hitam sebagai pengganas ekstrimis yang suka berdemonstrasi, Yasmin mengangkat golongan ini ke satu tahap yang sewajarnya.
Aku juga akui bahawa pada mulanya aku agak skeptical bila melihat babak keluarga yang memakai tudung labuh warna hitam di sebelah katil bapa Jason . Melihat keluarga betudung labuh hitam di sebelah katil tersebut, aku seakan menantikan suatu babak yang tidak baik yang akan menjatuhkan mereka yang memakai tudung labuh, tapi Yasmin yang bijak tidak membawa message seperti itu. Dibawanya babak Mak si Jason yang marah-marahkan suaminya yang tak nak makan kalau tak ada daging babi dan keluarga bertudung labuh hitam disebelah pada mulanya agak terkejut dan tersenyum tetapi kemudiannya si ibu bangun dan menawarkan daging rendang buat si Nyonya. Aku menarik nafas lega.
Signifikasi pada pemakaian tudung labuh hitam di situ menunjukkan bahawa famili tersebut adalah keluarga yang wara’ dan amat serius dalam beramal. Tudung hitam yang labuh juga selalu melambangkan perempuan yang fundamentalis, ekstrimis dan sangat patuh pada peraturan menutup aurat di dalam Islam. Yasmin tidak meletak di situ famili yang memakai tudung putih tiga segi yang biasa, beliau juga tidak meletak famili yang memakai selendang atau scarf. Dengan membawa pemakaian tudung hitam yang labuh itu, Yasmin telah memberi satu imej yang sangat positif kepada orang ramai bahawa tudung hitam yang labuh tidak bermaksud ekstrimis yang melampau dan menunjukkan bahawa ada juga di kalangan mereka yang pandai bermuamalah dan berbuat baik sesama insan, hatta insan itu bukan Muslim sekali pun.
Inilah message 'uswatun hasanah' yang mahu di bawa oleh Yasmin dan saya percaya message tersebut telah disampaikan dengan begitu baik. Mungkinkah terpesongnya aku dari fahaman biasa fundametalis di sini adalah ini kerana lakonan Namron sebagai bilal yang sangat handsome dan cool. Teruja sungguh kalau memang benar ada lelaki Muslim Melayu seperti itu !
Di satu cerita yang lain, tentang Orked, terus terang aku agak menyampah dengan watak Orked di dalam Gubra. Barangkali aku masih mengharapkan watak yang sama seperti di dalam Sepet, “innocence”. Innocence itu sudah hilang di dalam Gubra (bersesuaian dengan umurnya barangkali) dan diganti dengan watak yang agak mengada-ngada dan manja terlebih. Itu pada pandangan aku, mungkin itulah sifat seorang Orked yang kalau saja bukan Orked sekalipun, sesiapa saja yang berwatak sedemikian, aku memang akan menyampah.
Tanpa memaafkan Arif sebagai seorang yang telah menduakan isterinya, aku agak “bengang” dengan Orked yang pada masa dan hari yang sama suaminya di’tangkap’ olehnya sedang berdua-duaan dengan wanita kedua, si Orked juga pada waktu itu sedang berjalan berdua dengan lelaki yang bukan mahramnya. Aku maafkan kalau Orked keluar berdua sebagai teman tetapi yang aku tidak faham, sebaik sahaja dia menempeleng suaminya, Orked terus berjalan berdua dengan lelaki yang bukan mahramnya itu “dengan memegang tangan” ! Ahhhh…… alangkah tidak adil dan peliknya wanita bernama perempuan. Boleh saja dia berpoya ‘flirt’ dengan lelaki lain tetapi amat marah bila mendapati suami berbuat demikian. Okay… aku faham, paling tidak Orked belum di bawah selimut dengan lelaki bukan mahram tersebut. Tetapi, jangan menipu Orked kalau engkau menafikan engkau juga sedang cuba menggoda lelaki bukan mahram tersebut ketika beliau keluar dari bilik air dengan tidak memakai baju. Apa perlunya engkau Orked menarik bulu seorang lelaki bukan mahram dari tubuhnya. Lihat saja bahasa dan lenggok yang engkau gunakan sewaktu bersama lelaki bukan mahram tersebut.”Orked, I’m sorry, but you didn’t come with clean hands too maam”.
Dan aku juga paling tidak faham dan memang tidak akan masuk akal, bagaimana seorang yang bijak seperti Kak Yam yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik, boleh menjadi seorang ‘maid’ di Malaysia negaraku yang makmur ini. Melainkanlah maid itu adalah seorang Filipino dan aku percaya yang amat sangat Kak Yam bukanlah orang Filipina.
Aku juga sebagai seorang fundamentalis agak terkejut dengan babak-babak yang melibatkan sentuhan-sentuhan yang tidak sepatutnya oleh sesama Muslim yang bukan mahram. Barangkali kerana aku berpegang kepada hukum fiqh “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Sekalipun message atau niat yang hendak dibawa oleh Yasmin adalah kasih sayang yang teramat sangat sesama watak di dalam itu, aku masih merasakan itu tidak menjustifikasikan sesuatu yang jelas haram. Aduhhh.. aku ini juga bukanlah manusia malaikat tapi aku rasa aku perlu menyatakan sesuatu yang benar walau aku sendiri tidak sebersihnya.
Aku mahu berkiblatkan sekali lagi kepada Iran. Walau tidak banyak filem mereka yang aku telah tonton, tapi di dalam satu dua filem yang aku berpeluang menonton aku kagum bagaimana mereka dapat mengeluarkan filem yang amat bermutu tanpa menggadaikan maruah dan prinsip Islam. Tanpa perlu watak si suami mencium isteri, si isteri mencium suami, dari ekspresi lain, penonton masih dapat merasakan kasih sayang yang wujud antara watak suami isteri tersebut. Mereka juga tidak pernah perlu menunjukkan rambut isteri yang mengurai atau serabai bagi merealisasikan watak perempuan.
Inilah harapan dan impian aku bagi industri filem Malaysia. Menghasilkan filem yang jujur dan berilmu dan pada masa yang sama tidak sesekali menggadai maruah dan peribadi Muslim. Memberi imej yang baik bagi pelakon dan seterusnya menjadikan filem sebagai medium dalam berdakwah.
Yasmin telah mengorak langkah yang baik dalam penceritaannya di dalam cerita Bilal dan Pelacur dan juga Keluarga Bertudung Labuh Hitam yang telah memberi message yang positif kepada masyarakat. Tetapi dalam masa yang sama aku juga mengharapkan sesuatu yang aku rasakan tidak mustahil boleh kita lakukan. Jika Iran boleh melakukannya, kenapa kita tidak ?
No comments:
Post a Comment