Monday, November 06, 2006

Cerita Orang Marah

Kita berhenti sekejap pasal cerita Kemboja. Penat ahhh nak tulis cerita tu.

Baru2 ini saya di Langkawi. Pada masa hendak pulang ketika di Jetty Kuah itu, memang terdapat ramai umat manusia yang mahu balik ke tanah besar setelah bershopping sakan di Langkawi. Alkisahnya suasana sangat panas dan orang begitu ramai dan adalah satu mamat dan keluarga ini yang sedang beratur bersama orang ramai dekat pintu nak keluar ke bot, macam 'departure hall' begitu adanya.

Tiket bot saya menunjukkan bot saya akan berlepas jam 12.30 tgh hari. Waktu saya dan orang ramai di pintu itu, jam di tangan sudah menunjukkan hampir pukul 12.30. Saya cuba-cuba lihat tiket bot orang lain dan saya dapati tiket mereka menunjukkan bot yang berbeza dari tiket saya. Saya mula jadi bimbang dan cuba mencari ruang ke depan orang ramai untuk bertanya makcik guard yang jaga pintu tu, untuk mengetahui adakah saya ini termasuk orang-orang yang dah terlepas bot.

Dalam kekalutan saya itu (sememangnya saya ini jenis gubra juga orangnya) saya telah terlanggar sesuatu. Bila saya toleh ke belakang saya dapati saya telah menjatuhkan secara tidak sengaja beg seorang mamat dan keluarga tadi. Mamat ini adalah seorang bapa, punya dua tiga orang anak separa remaja dan isteri yang kelihatan sangat lembut. Seharusnya saya patut merujuk beliau sebagai 'pakcik' , tapi oleh kerana kecetekan akal padanya yang saya rasakan sangat ketara eloklah beliau diturunkan darjat ke pangkat 'mamat' saja.

Sambil mengangkat beg tersebut saya meminta maaf kepada si empunya beg, tetapi Mamat ini setelah melihat saya menjatuhkan begnya terus menengking ke arah saya dengan menuduh saya sebagai seorang yang tidak punya penglihatan. Dijeritnya kepada saya mempersoalkan penglihatan saya sebagai seorang yang seperti Stevie Wonder. "Buta kah ???!!!!" Saya agak terkejut dengan pertanyaan yang garang seperti itu. Kalau wanita biasa yang lain, mungkin mereka akan merasa malu dan akan tersipu-sipu menyusup keluar dari orang ramai dengan deraian air mata.

Si mamat ini tidak tahu saya wanita garang yang membawa kereta dengan ganas ! Terasa suasana pada waktu itu kilat sambar menyambar ribu taufan seolah melanda Jetty Kuah; saya mengangkat pandangan dan melihat kepadanya dan bertanya tanpa meniggikan suara :

"Kenapa harus marah ...?"

Mamat yang seperti kehilangan dialog terus membuat tuduhan lagi "Buta !!!"

"Eh.. relax lah... !! Saya dah minta maaf ! "

Mamat tercari-cari ayat yang lebih baik lagi "Buta !!"

"Kenapa harus marah dan jerit-jerit. Tak bolehkah bercakap elok-elok? Saya bukan sengaja nak jatuhkan beg tu ""

Mamat menggapai-gapai mencari kata yang tak terjumpa "Buta !!!"

"Ehh... relax lah !!!!"

Tahulah saya tatkala itu bahawa beliau telah kehilangan skrip dan beliau juga tidak tahu dialog apa lagi yang mampu dihasilkannya. Dan saya terus berlalu pergi. Orang ramai pastinya menjadi saksi bahawa yang buta sebenarnya di situ ialah Mamat itu, yang telah berjaya menjatuhkan dirinya di hadapan anak-anak dan isteri dan juga orang ramai.


Moral Cerita

Menengking orang yang telah memohon maaf atas sesuatu perkara yang tidak sekali-kali menjejaskan anda membuatkan seseorang kelihatan lebih kecil dari dirinya yang sebenar.



*** Oh ya ! Mamat itu dan keluarganya mendapat tempat duduk di belakang kerusi saya di atas bot.

2 comments:

Anonymous said...

Kalau I ada kat kat situ... dah lama I campak beg dia dlm laut.

a.n.i.Q.u.e said...

Hah...memang rasa nak campak pun.... tapi beg tu besar ... !