Hidup ini selalunya penuh dengan "irony". Tidak semua perkara di dalam dunia terjadi mengikut sangkaan dan jangkaan kita. Adakalanya kejutan demi kejutan berlaku membuatkan kita tertanya-tanya apakah hikmah di sebaliknya itu.
Begitu juga yang terjadi dengan Pak Ngah. No, Pak Ngah tidak bertukar menjadi pandai selepas itu. Seperti yang aku ceritakan dulu, Pak Ngah berubah apabila Tok mengahwinkan dia dengan Mak Ngah aku sekarang. Pak Ngah dan Mak Ngah kahwin dalam usia yang agak lewat. Oleh kerana Pak Ngah sendiri tidak mempunyai kehidupan 'sosial' yang begitu luas , amat jarang sekali atau hampir tidak pernah aku lihat kawan-kawan Pak Ngah datang ke rumah Tok. Jangankan kawan perempuan, kawan lelaki pun aku tidak pernah nampak.
Namun keajaiban jodoh tetap berlaku pada Pak Ngah dan Mak Ngah kerana, walaupun Mak Ngah tinggal di Sungai Petani, dan walaupun sudah beberapa orang telah merisik Mak Ngah kerana mahu bermenantukan anak guru Quran, apabila ada yang berbisik pada Mak Ngah bahawa ada orang Alor Star yang mahu menyuntinganya, Mak Ngah tidak menolak, bahkan bersetuju. Mak Ngah belum pernah bertemu Pak Ngah dan melihat cermin mata Pak Ngah yang tebal besar 'gedabak' itu, namun Mak Ngah dengan ikhlas telah menerima pinangan Tok untuk Pak Ngah.
Selepas mereka dinikahkan, Pak Ngah tinggal di Sungai Petani dan bekerja di salah satu kilang di sana. Pun begitu, setiap bulan, Pak Ngah akan balik ke rumah menjengah emaknya yang garang itu. Akulihat Pak Ngah memang sudah berubah. Suatu pagi subuh, ketika aku tidur di rumah Tok, aku telah dikejutkan dengan azan Subuh yang sungguh kurang sedap suara 'muazzin' nya. Dalam keadaan yang masih mamun aku kemudiannya sedar, bahawa orang yang azan itu ialah Pak Ngah. Pasti Tok tersenyum pagi itu kerana, Tok tak perlu lagi bising-bising kejutkan Pak Ngah untuk sembahyang seperti dulu.
Setelah beberapa kali keguguran, Mak Ngah akhirnya di kurniakan dengan seorang anak lelaki. Pak Ngah kelihatan gembira dengan kehadiran anak lelakinya itu. Kami semua hairan sebab, dengan anak lelakinya, jarang sekali Pak Ngah marah-marah, tidak seperti kami dulu. Adalah adengan yang amat luar biasa bagi kami melihat Pak Ngah berlawak dan bermain-main dengan anaknya itu. Memang Pak Ngah sudah berubah benar. Pak Ngah kelihatan gembira dan bahagia. Iya lah, apa lagi yang Pak Ngah dambakan dalam hidup ini apabila mempunyai isteri solehah yang sangat memahami dan menerimanya dengan seadanya. Tidak pernah sekali pun aku lihat atau mendengar Mak Ngah meninggikan suara dengan Pak Ngah. Malah aku juga tidak pernah nampak mereka bermasam muka.Mak Ngah memang bijak dan sangat pandai mengambil hati Pak Ngah.
Pak Ngah dan Mak Ngah hidup dengan amat sederhana. Walaupun mereka tidak mewah atau senang seperti orang lain, aku lihat mereka sangat tenang. Tidak pernah perlu memikirkan tentang hutang dan masaalah hidup yang lain. Aku tahu, gaji Pak Ngah bukanlah banyak, tapi mereka berdua tidak pernah meminta dan aku rasa mereka juga tidak pernah berhutang. Pun begitu, Allah sentiasa mengurniakan mereka dengan kecukupan. Dengan kehadiran seorang anak perempuan yang comel, maka lengkap sudahlah kehidupan Pak Ngah.
Dalam kehidupan yang memerlukan wang dan segala material dunia, aku perhatikan Pak Ngah dan Mak Ngah sentiasa saja dibantu Allah melalui orang lain. Mak aku, Pak Lang dan Pak Cik, bahkan Cik (dan juga kadang termasuk sepupu dan adik beradik yang lain) bila saja melihat ada apa-apa yang tidak cukup pada Pak Ngah, pasti mereka akan mengutip wang menolong Pak Ngah walaupun Pak Ngah atau Mak Ngah tidak pernah meminta. Contohnya bila saja Mak atau Tok aku lihat mesin basuh Pak Ngah rosak, mereka akan berbincang dengan adik beradik yang lain mengumpul wang membelikan Pak Ngah mesih basuh yang baru. Bila Mak mahu membuat dapur baru, dapur lama yang masih boleh digunakan, diberinya pada Mak Ngah. Kadang-kadang tuisyen anaknya juga akan dibayar oleh orang lain. Memang murah sungguh rezeki mereka.
Bahkan rumah Tok sekarang adalah milik Pak Ngah. Pak Ngah tak perlu lagi pening memikirkan tempat untuk anak isterinya berteduh. Dan Tok, yang selalu berperang bergaduh dengan Pak Ngah dulu sekarang tinggal dengan Pak Ngah dan Mak Ngah. Bekas Singa Garang itu sekarang dijaga elok oleh menantunya. Bukankah 'irony' namanya itu apabila anak yang bukan pilihan kegemaran Tok, kini, adalah satu-satunya anak yang menjaganya sekarang. Bersama isteri dan kedua-dua anak, merekalah yang menjaga dan mengambil berat makan minum Tok sedangkan anak-anak dan cucu-cucu yang lain(termasuk aku, cucu kegemaran Tok) hanya sempat menjenguk mak dan Tok mereka sekali sekala sahaja.
Memang benar Allah itu Maha Besar dan Maha Penyayang. Dan memang benar rezeki itu datang dari Allah. Dari kehidupan Pak Ngah dan Mak Ngah, aku lihat apa yang kita manusia biasa definisikan sebagai kejayaan dunia itu sebenarnya bukanlah jaminan untuk hidup tenang dan bahagia. Tidak bagi Pak Ngah dan Mak Ngah. Mereka tidak perlu wang yang banyak dan harta dunia melimpah ruah untuk mereka bahagia dan merasa cukup dengan apa yang dimilliki. Itulah kekayaan yang sebenarnya.
Ps:
Oh ya, Pak Ngah masih tetap dengan hobinya menonton TV. Satu-satunya alatan yang memang Pak Ngah belanjakan dengan agak mahal baginya adalah TV besar, Video(dulu) dan VCD /DVD (sekarang) yang elok. Kedua-dua anaknya juga mewarisi Pak Ngah menonton TV dengan begitu dekat. Kedua-dua anaknya memakai cermin mata tebal.