Friday, November 02, 2007

Surat Kepada Pejuang Yang Penjamin Biasiswanya Sedang Di Saman

Saudara,

Maafkan saya kerana menggunakan platform komen ini untuk berhubung dengan saudara.Sudah lama saya mengenali saudara walaupun sudah agak lama kita tidak bertemu. Saya juga ada mengikuti liku2 perjalanan yang saudara lalui , satu perjalanan hidup yang tak ramai akan memilih. Perjalanan yang tidak menjanjikan kemewahan hidup bahkan mendambakan keberanian, kesabaran, ketabahan dan pastinya juga dengan iringan iman dan taqwa yang menjadi tunggak perjalanan itu.


Saya percaya saudara ikhlas untuk berjuang. Keikhlasan yang harus diusahakan untuk mencapai tahap dan maqam yang dimahukan oleh semua penjihad. Menjadi seorang pejuang bermakna ada harga yang harus di bayar kerana nilai usaha dan jihad itu tidak akan mendapat imbuhan dunia dengan rumah yang besar atau kereta yang hebat.

Namun begitu saudara, menjadi seorang pejuang tidak saja memerlukan keberanian dan ketabahan dalam gelanggang. Menjadi seorang pejuang tidak juga hanya bergantung kepada betapa sucinya cita dan matlamat yang ingin dicapai. Ada lagi sifat-sifat dan perkara-perkara lain yang harus dimiliki dan diselesaikan oleh seorang pejuang sebelum beliau melangkah ke gelanggang dan bertungkus lumus agar kebenaran akan terus bersinar.

Saya tidak salahkan saudara kerana di'usir' keluar dari pusat pengajian, bukan salah saudara. Tidak sama sekali. Jika harga kebenaran yang diperjuangkan saudara menuntut pengorbanan besar seperti itu, saya pasti saudara juga telah lama meredhakannya. Ketidakadilan yang berlaku ke atas saudara oleh 'tangan-tangan di atas' bukanlah sesuatu yang baru, saudara bukan mangsa yang pertama. Sudah ramai yang melalui jalan itu. Ketidakadilan berlaku di mana-mana, bahkan makcik yang menjual sayur di pasar juga pernah merasa ketidakadilan manusia ke atas dirinya. Dan jangan kata keadilan benar-benar dijanji oleh DIA, kerana jika saja DIA menggunakan dan menerimapakai konsep adil yang sebenar, siapalah kita di dunia ini?

Bila saja saudara diusir keluar dari pengajian saudara, pastinya akan ada rentetan-rentetan lain yang 'mereka' gunakan untuk menekan saudara. Namun tekanan yang dikenakan bukan hanya melibatkan saudara seorang tetapi juga penjamin-penjamin biasiswa saudara. Kita ketepikan dulu soal ketidakadilan oleh 'tangan-tangan di atas' terhadap saudara kerana maafkanlah penjamin-penjamin saudara itu jika mereka tak dapat merasa atau simpati tehadap kepahitan harga perjuangan yang saudara lalui. Mereka bukan pejuangdan mereka tidak akan faham semua itu. Yang saya pinta ialah agar saudara menyelesaikan dulu urusan saudara dengan mereka sebagai penjamin-penjamin biasiswa saudara yang saat ini sedang menghadapi tuntutan saman di mahkamah berkenaan jaminan mereka terhadap biasiswa saudara yang belum dilangsaikan.

Tanpa perlu kita menyebut tentang kerelaan mereka menyuakan leher mengambil risiko memberi peluang kepada saudara melanjutkan pelajaran yang tak sempat dilanjutkan, saudara seharusnya paling kurang berhutang penjelasan kepada mereka tentang apa yang berlaku. Jika sekalipun saudara kesempitan wang, apakah salahnya jika saudara berhadapan dengan musik dengan menghubungi mereka sendiri sedangkan sewaktu saudara butuhkan tandantangan mereka saudara telah secara peribadi pergi mengadap mereka.

Penjamin saudara telah beberapa kali cuba mencari peluang berbicara dengan saudara, malangnya mereka hanya dapat berbual dengan bapa atau ibu saudara sahaja sedangkan saudara sendiri masih terus berdiam diri. Ahhh.. pasti saja saudara sedar dan mengetahui keadaan yang sedang berlaku, namun suara saudara tidak pernah kedengaran di gagang telefon mereka.

Saya sebenarnya mengagumi saudara serta perjuangan yang saudara juangkan, namun pada masa yang sama saya rasa amat kesal dan kecewa dan saya terpaksa mempersoalkan kredibiliti saudara sebagai pejuang. Saya mempersoalkan apakah saudara adalah sebagai seorang yang bertanggungjawab, terutamanya di dalam kes ini, terhadap penjamin-penjamin saudara.

Saudara,

Berhentilah bersembunyi di belakang kedua ibu bapa saudara dan tampillah kehadapan sebagaimana saudara tampil berhadapan dengan penguasa sewaktu saudara berdemostrasi. Selesaikanlah tanggungjawab saudara terhadap penjamin-penjamin saudara dengan menghubungi mereka meminta maaf atas apa yang telah berlaku dan seterusnya cuba sama-sama mencari penyelesaian agar tuntutan saman ke atas mereka ditarik balik.

Sila hubungi nombor ini : 012-5727***, nombor salah seoarang penjamin saudara yang teraba-raba menghubungi peguam dan penaja biasiswa saudara untuk mendapatkan maklumat tentang saman terhadapnya.

Saudara,

Minta maaf jika saya ingin berpesan di sini -

Jadilah anak jantan terlebih dahulu sebelum menjadi pejuang


Sekian.
Terima Kasih,
Yang Benar,

****** *******


*Saya terpaksa menulis surat seperti ini kepada saudara kerana ibu saya ialah orang yang menjadi orang tengah antara saudara dan penjamin-penjamin saudara ketika saudara tercari-cari penjamin untuk biasiswa saudara.

Dan oh ya,kakak saudara yang dihubungi tidak memberi kerjasama yang baik, bahkan beliau telah bersikap agak kurang manis atau dalam bahasa yang kasar 'kurang ajar' dengan ibu saya.

8 comments:

zhfrz said...

tambahan: harap saudara boleh melaungkan slogan 'Kembalikan Sistem Barter' bila berdemostrasi. supaya saudara sendiri boleh tukarkan hutang pengajian saudara dengan atleast minyak petrol saudara ka contohnya...

a.n.i.Q.u.e said...

Ha ah.. bagus tu.. tambahan pula kalau minyak petrol tu dibeli dengan duit mak ayah dan juga wang PTPTN ....

Anonymous said...

Ada baiknya si pejuang ini bersama dengan kakaknya yang bermulut celop itu diberikan cop mohor di pipi (dahi kang kalau pakai tudung/kopiah/songkok/serban idak le nampak pulak, kan? kalau kat pipi sampai bila pun nak tutup dgn jari. abis2 pun time ni baru la terfikir pakai purdah. Tp si pejuang tak kan sanggup pakai purdah kut. Where's the 'jantanezz'?) so nampak la ayat yg tertera:

1. "saya pejuang tapi saya tak bayar hutang"

2. "saya kakak pejuang tapi adap ada kurang"

Nak jadi pejuang pun abiskan le dulu study tu. Pejuang kalau tak berilmu pun tak guna juga. Study tu pun adalah cabang perjuangan awal tak gitu abg pejuang? Ni yg awal, ringan2 pun tak lepas... boleh ke berjuang yg berat2...

Yg si kakak pejuang ni pun sampai bila pun nak kekwat mcm tu dgn org tua...sok lusa kita tua jugak.

kepada yg di penaya dek si pejuang dan sekutunya:
"tak payah tepon2 lagi, bwk aje rombongan cek kiah ke rumah si pejuang ni secara seprais. tepon pun bil juga tu. alih2 dpt plak maki hamun. membazir tau."

Kepada pejuang: "jangan jadi pejuang yg tersungkur di pintu syurga udah le, sesia jadi pejuang. err... ni pejuang ape kategori ape ni?"

:p

a.n.i.Q.u.e said...

Sekut: Makkk aii berapinya marah...

You pun ada darah pejuang juga ka ni...

;-P

Anonymous said...

ishhhh memang i ada darah pejuang nihhh... keturunan mat kilau,datuk bahaman, tok gajah segalanya la ada dalam badan nan kecik ni... u jgn tgk saiz badan i la... tgk saiz jiwa, tu pun kalau u reti nak tgk hahaha

tapi walaupun i tebalkan muka ngaku ade darah pejuang (i tak kire i ngaku jugak)...ngeeee :p idak le pulok i meminjam doit belajo ilmu seciput jalan pastu soh pulak org lain pi bayo duit pengeras ilmu yg i dapat seciput tu...

tok guru i ckp ilmu biar byk tapi mesti atas jalan yg betul baru berkat...

ni i type pepanjang ni si pejuang tu bace ke? bace la weiiiii penat type ni...

Anonymous said...

Saya bangga ada kakak macam kakak saya sorang nie hahahaha

Anonymous said...

ni la masalahnye kalau kita jadi penjamin. Niat dihati nak tolong tapi bila dah settled mengaji semua dia lupa nak bayaq hutang. yang kesiannya kita la.
bila jadi mcm ni memang kena bertegas. tak kira la sedara ke sepupu ke dua pupu ke sebab dia punya pasai kita yang kena tanggung.
ni sebab saya penah kena la saya hangin. alhamdulillah, la ni dah selesai. tu pon nak kena peringat kalau tak, surat reminder asyik mai kat kita je.uiii..letih lah.

a.n.i.Q.u.e said...

Budak Pendang: Memang pun letih. Kita yang letih ..... Sapa tak letih kalau surat saman dah sampai... Boleh naik hangin satu badan ....