Wednesday, April 25, 2007

Aku Juga Melayu

Semalam aku marahkan Melayu perempuan
yang pakainya kain batik sulaman
suka menyibuk mengambil tahu hal orang lain
sedang kain batik sendiri terkoyak rabit, itu dalaman

Kelmarin dulu aku dengar cerita
seorang Melayu yang namanya serupa Afrika
masuk lewat ke dewan setelah semuanya bermula
sang MC bertanya "Are you from Malaysia?"
Melayu Malaysia yang selalu tak tepati masa
Oh Melayu juga orang Afrika rupanya

Minggu lepas aku ke Jabatan Melayu
Borang yang kuhantar tiga bulan lepas rasanya telah berdebu
Masih tidak ada apa-apa hasilnya penat kumenunggu
Pegawai yang kuhubungi juga tak ada selalu
Pukul 10 pagi masih dikedai kopi, itu semua orang tahu

Bulan lepas kawanku marahkan anak murid
Melayu kesemua mereka
Hari-hari tidak pernah mahu belajar
tapi handphone model baru juga yang dikejar
Oh anak muda, masih belum tumbuh masak
tapi Melayunya sudah nampak

Melayu hari ini apa yang ada
Tak payah tanya jiran sebelah
Bukalah minda lapangkan jiwa
Kalau puas jawapan yang ada
Ya silakan tetaplah di jalan yang sedia ada

Melayu oh Melayu
ada hati mahu melangkau Semenanjung
tapi jiwa masih lagi bawah tempurung

Merdeka sudah ia Tanah Melayu
Tapi tak sama seperti negara jiran
Hebatnya tak pernah dijajah, itulah Thailand
Bermandikan darah itulah Indonesia
tapi kita Melayu bodoh tetap memandang rendah
masih tak sedar Merdeka kita dengan senang Inggeris menyerah

Macam mana aku tak marah Melayu
bila di Parlimen berdebat macam otak kayu
Soalan yang tak dapat dijawab member lain tolong "booo"
(supaya perhatian tak dapat ditumpu)
Soalan yang dijawab juga standardnya lembu

Melayu, Melayu, Melayu
pembangunan umpama Dunia Pertama
tapi sayang Dunia Ketiga mentalitinya

Masih kita marahkan Melayu
Umpamanya kita bukan begitu

Hari ini aku pakai baju Melayu
Melayuku hari ini aku adalah malas
Kata orang kalau dah namanya Melayu
memang pemalas,
Masakan aku tidak melabelkan diriku Melayu
Time patut buat kerja, aku masih di Blog Ku

Ahhhh... Melayu juga aku !

No comments: