Sunday, December 14, 2008

Siapa Kassim Selamat

Menyukai atau membenci...sebenarnya sangat peribadi dan begitu 'personal'. Ia tiada pernah ada kaitan dengan karakter asal seseorang.

Kamu benci seseorang kerana dia mungkin pernah menyakiti kamu walaupun akan ada ramai orang yang akan mempertahankan orang yang kamu benci itu dengan mengatakan dia sebenarnya baik

Kamu suka seseorang juga kerana ia ada kepentingan bagi kamu. Walaupun orangnya memang dibenci dan dihina orang, tetapi oleh kerana dia baik dengan kamu, kamu tiada masaalah dengannya.

Sebab itu kadang kita lihat dan tertanya-tanya mengapa seorang gadis sangat sayangkan seorang lelaki yang semua orang ketahui adalah seorang yang kita rasakan sangat tidak berguna. Kita akan cepat terus menghukum gadis itu atas kebodohannya yang kita rasakan sangat jelas memilih lelaki yang menjadi sampah masyarakat. Tetapi pada satu sisi yang lain kita tidak tahu betapa si sampah masyarakat itu lah yang selama ini yang berdiri teguh di belakang gadis itu, yang menerima dirinya seadanya, yang menjadi pendengar setia si gadis, yang berada di sisinya di saat si gadis sangat memerlukan.

Memang lelaki yang tadi itu tidak akan menjadi menantu pilihan, tetapi jika sekiranya dia datang meminang dengan membawa sebuah kereta yang hebat dan kemudian sering menghulur wang yang banyak kepada bakal mertua, pastilah bakal mertua tidak lagi akan memandang serong padanya kerana lelaki itu sekarang juga berkepentingan secara 'personal' dengan bakal mertua.

Seperti juga cerita Ibu Mertuaku yang bencikan Kassim Selamat. Yang dia marah bukan sebab Kassim Selamat tu "ahlil musik" per se. Dia marahkan sebab imej yang Kassim Selamat bawa kepadanya yang dia rasa amat memalukan bila bermenantu lelaki yang bukan Lawyer atau Magistrate. Ibu Mertuaku sebenarnya hanya pentingkan diri dan imejnya walaupun Sarimah dah berlari-lari anak dan sembamkan muka di bantal dan bergolek-golek atas katil dengan gediknya cintakan Kassim Selamat.

Tapi sebenarnya ada kebenarannya mengapa Ibu Mertuaku tak mahukan Kassim Selamat memandangkan Kassim Selamat tu memang bodoh kerana kemudiannya terbukti firasat seorang ibu bila Kassim Selamat dengan kejahilannya telah menggarpukan matanya hingga buta.

Mungkin Ibu Mertuaku sedar dan merasakan dari awal seorang Doktor atau Lawyer atau Magistrate tidak akan membutakan mata mereka dengan garpu.

Sekian.

No comments: