Sunday, September 07, 2008

Lagi Cerita Tentang Aku Suhardi Dan Salwa

Aku, Suhardi dan Salwa tetap bersama di dalam kelas semasa Darjah Satu dan Darjah Dua. Seperti yang pernah aku ceritakan dulu, Salwa memang dari keluarga yang agak berada dan berkemampuan. Melihatkan dari jenis kereta ayahnya saja sudah cukup untuk kami sebagai budak sekolah menganggap Salwa bukanlah dari golongan miskin. Ditambah pula betapa dia selalu membelanja kroni-kroninya dikantin sambil jalan beramai-ramai, Salwa kelihatan sangat menonjol dan berkuasa sebagai Ketua Yang Memakai Topi Berbunga. 


Aku ? Aku pula tidak popular seperti Salwa, tambahan lagi waktu Darjah Satu itu, kerana lompatan "zero-point"  (tali getah) yang tidak tepat menyebabkan aku tersungkur rebah ke bumi,  patah gigi hadapan.  Aku memang tidak tampan dengan gigi berlubang dan tanpa wang untuk belanja kawan-kawan lain makan di kantin. Mak aku hanya bagi aku 2 kupang (RM0.20) saja untuk ke sekolah.


Walaupun aku tahu Salwa telah "cop" Suhardi dari Darjah Satu lagi, itu tidaklah menghalang aku untuk tetap berkawan dengan Salwa sebagai kawan sekelas. Bagi aku yang masih mentah ini, aku juga mempunyai rasa kekurangan diri di mana aku mengambil keputusan untuk mengundur diri. Salwa boleh memiliki Suhardi kerana siapalah aku ini untuk rapat dengan jejaka tampan itu. Suhardi pula seperti kebanyakan budak lelaki 7 tahun yang lain, tiap hari masih sibuk mengejar belalang dan bermain "combat" dan tidak tahu sepatah haram pun yang dia menjadi rebutan dua budak perempuan sekelasnya.


Antara kelebihan Salwa waku itu ialah dia sangat pandai bercerita. Setiap kali Salwa membuka mulut maka ramailah murid lain yang akan berkerumun di mejanya untuk  mendengar cerita. Salwa akan bercerita tentang pelbagai perkara tetapi yang selalu menarik aku ke meja Salwa tiap kali ialah untuk mendengar cerita Salwa tentang kolam renang di rumahnya.


Aku ingin membuat pengakuan di sini; ada dua benda di dalam kehidupan kanak-kanak aku yang menjadikan aku meleleh air liur melopong bila mendengar orang menyebutnya iaitu : piano dan kolam renang. Aku memang sangat teruja tentang dua benda itu.Kamu mungkin telah baca tentang aku dan piano Motien dulu. Tapi sebelum kenal Motien aku telah terlebih dahulu kenal dengan Salwa dan kolam renangnya.


Menurut Salwa di rumahnya ada satu kolam renang yang besar. Dia dan keluarganya sering mandi manda bersama di kolam itu pada waktu petang dan masa cuti sekolah. Kamu boleh lihat muka  aku tiap kali Salwa menyebut kolam renang, mata aku bersinar dan mulut aku akan ternganga dengan senyum yang terhegeh-hegeh. Salwa pula setiap kali bercerita akan siap dengan pensil dan kertas untuk melukis kolam renangnya itu. Dan aku pula tidak akan habis-habis bertanya itu ini tentang kolamnya, keluasan kolam dan juga kedalaman air di kolamnya. Dan termasuk di dalam soalan-soalan poyo aku itu ialah tentang  siapa lagi yang mandi di situ,baju renang jenis dan warna apa yang dipakai, guna pelampung atau tidak dan lain-lain soalan yang hanya akan datang daripada seorang kana-kanak yang gila kolam renang dan bermain air .


Dan Salwa tidak pernah jemu bercerita dan bercerita tentang kolam renangnya kepada aku yang konon ada hati mahukan bakal suaminya, Suhardi.


Memanglah aku ini budak-budak sangat waktu itu. Dan memanglah juga aku sangat teruja dengan kolam renang Salwa dan tidak dinafikan juga bahawa Salwa bukanlah dari golonngan miskin tetapi ada "sesuatu" di dalam cerita Salwa yang aku ingat sampai sekarang yang membuatkan aku juga rasa seperti ada yang tak betul tentang cerita kolam renangnya itu.


Mana tidaknya, Salwa bercerita kolamnya yang besar itu ada empat papan anjal; setiap satu untuk Mak, Ayah, Abang dan dirinya untuk digunakan mereka untuk melompat masuk ke dalam kolam itu.



Mana ada orang buat sampai empat papan anjal untuk satu kolam ! 



Tapi seperti manusia lain, aku telah memilih untuk percaya hanya apa yang aku mahu percaya.  Kerana biarpun cerita Salwa tidak betul seperti juga cerita piano kecil kayu Motien itu..... ianya cukup untuk aku berkhayal dan berfantasi indah tentang kolam renang. Seperti semua kanak-kanak lain di dunia ini, Salwa dan Motien juga berkhayal dan bermimpi mahukan Kolam Renang (dengan 4 papan anjal) dan Piano (yang besar)




Kami hanya kanak-kanak pada waktu itu.

Kami tidak berdosa untuk berangan.





*Izinkan aku juga untuk masih berfantasi tentang sesuatu yang telah 30 tahun lebih aku tinggalkan di mana jauh di sudut hati aku berkeyakinan kalau Suhardi di suruh memilih antara aku dan Salwa, pasti Suhardi akan memilih aku. Hahahahahaha.


5 comments:

Anonymous said...

ha! finally! the sequel of the bizarre love triangle.... yah, itulah kanak-kahak, doyannya berkhayal dan kanak2 lain percaya-percaya saja tuh... hehehehe... Tapi khayalanmu yang terakhir aku dukung, niq. Tentu suhardi, yang berdarah jawa, itu akan memilih kamu yang tomboy ketimbang salwa si little queen bee... kerana kamu bisa diajaknya mencari belalang di sawah... hahahahhaa..... (ijul)

Anonymous said...

sambung lagi...dan lagi...ke dah habis?hehehe..seronok baca ni

-aku budak pendang-

a.n.i.Q.u.e said...

Ijul: of course..... hahahaha... padahal terakhir yg aku dengar Suhardi sudah menikah. Aku tidak tahu dengan siapa, tapi yang aku pasti, bukan denngan Salwa...

ABP: rasanya dah tak ada apalagi dah yg nak sambung cerita. Sebab lagipun lepas tu waktu Darjah 3 saya dah bertukar sekolah, satu sekolah dgn Motien

Aku... CikSekut said...

kat skolah baru tak da scandal ke? thehehehe...

a.n.i.Q.u.e said...

Yan: Sekolah baru all-girls la.... payah nak scandal