Saya percaya saudara ikhlas untuk berjuang. Keikhlasan yang harus diusahakan untuk mencapai tahap dan maqam yang dimahukan oleh semua penjihad. Menjadi seorang pejuang bermakna ada harga yang harus di bayar kerana nilai usaha dan jihad itu tidak akan mendapat imbuhan dunia dengan rumah yang besar atau kereta yang hebat.
Namun begitu saudara, menjadi seorang pejuang tidak saja memerlukan keberanian dan ketabahan dalam gelanggang. Menjadi seorang pejuang tidak juga hanya bergantung kepada betapa sucinya cita dan matlamat yang ingin dicapai. Ada lagi sifat-sifat dan perkara-perkara lain yang harus dimiliki dan diselesaikan oleh seorang pejuang sebelum beliau melangkah ke gelanggang dan bertungkus lumus agar kebenaran akan terus bersinar.
Saya tidak salahkan saudara kerana di'usir' keluar dari pusat pengajian, bukan salah saudara. Tidak sama sekali. Jika harga kebenaran yang diperjuangkan saudara menuntut pengorbanan besar seperti itu, saya pasti saudara juga telah lama meredhakannya. Ketidakadilan yang berlaku ke atas saudara oleh 'tangan-tangan di atas' bukanlah sesuatu yang baru, saudara bukan mangsa yang pertama. Sudah ramai yang melalui jalan itu. Ketidakadilan berlaku di mana-mana, bahkan makcik yang menjual sayur di pasar juga pernah merasa ketidakadilan manusia ke atas dirinya. Dan jangan kata keadilan benar-benar dijanji oleh DIA, kerana jika saja DIA menggunakan dan menerimapakai konsep adil yang sebenar, siapalah kita di dunia ini?
Bila saja saudara diusir keluar dari pengajian saudara, pastinya akan ada rentetan-rentetan lain yang 'mereka' gunakan untuk menekan saudara. Namun tekanan yang dikenakan bukan hanya melibatkan saudara seorang tetapi juga penjamin-penjamin biasiswa saudara. Kita ketepikan dulu soal ketidakadilan oleh 'tangan-tangan di atas' terhadap saudara kerana maafkanlah penjamin-penjamin saudara itu jika mereka tak dapat merasa atau simpati tehadap kepahitan harga perjuangan yang saudara lalui. Mereka bukan pejuangdan mereka tidak akan faham semua itu. Yang saya pinta ialah agar saudara menyelesaikan dulu urusan saudara dengan mereka sebagai penjamin-penjamin biasiswa saudara yang saat ini sedang menghadapi tuntutan saman di mahkamah berkenaan jaminan mereka terhadap biasiswa saudara yang belum dilangsaikan.
Tanpa perlu kita menyebut tentang kerelaan mereka menyuakan leher mengambil risiko memberi peluang kepada saudara melanjutkan pelajaran yang tak sempat dilanjutkan, saudara seharusnya paling kurang berhutang penjelasan kepada mereka tentang apa yang berlaku. Jika sekalipun saudara kesempitan wang, apakah salahnya jika saudara berhadapan dengan musik dengan menghubungi mereka sendiri sedangkan sewaktu saudara butuhkan tandantangan mereka saudara telah secara peribadi pergi mengadap mereka.
Saya sebenarnya mengagumi saudara serta perjuangan yang saudara juangkan, namun pada masa yang sama saya rasa amat kesal dan kecewa dan saya terpaksa mempersoalkan kredibiliti saudara sebagai pejuang. Saya mempersoalkan apakah saudara adalah sebagai seorang yang bertanggungjawab, terutamanya di dalam kes ini, terhadap penjamin-penjamin saudara.
Saudara,
Sila hubungi nombor ini : 012-5727***, nombor salah seoarang penjamin saudara yang teraba-raba menghubungi peguam dan penaja biasiswa saudara untuk mendapatkan maklumat tentang saman terhadapnya.
Saudara,
Minta maaf jika saya ingin berpesan di sini -
Jadilah anak jantan terlebih dahulu sebelum menjadi pejuang
Sekian.
Terima Kasih,
Yang Benar,
****** *******
*Saya terpaksa menulis surat seperti ini kepada saudara kerana ibu saya ialah orang yang menjadi orang tengah antara saudara dan penjamin-penjamin saudara ketika saudara tercari-cari penjamin untuk biasiswa saudara.
Dan oh ya,kakak saudara yang dihubungi tidak memberi kerjasama yang baik, bahkan beliau telah bersikap agak kurang manis atau dalam bahasa yang kasar 'kurang ajar' dengan ibu saya.